Apabila hidup kita diselubungi kegelapan, semuanya silap, carilah sinar itu dari Dia Yang Memberi Cahaya.
Apabila kita dibelenggu masalah, sedangkan tiada sesiapa pun yang mahu mengambil kisah, ingatlah pada Dia yang tidak pernah melukakan hati kita. Dia Maha Adil.
Apabila hati kita terluka dan kesakitan itu menumbangkan kudrat kita, jangan berputus asa kerana Dia melihat segala-galanya.
Apabila kita lemah tidak bermaya sedangkan perjalanan masih jauh perlu diharungi, carilah kekuatan itu dari Yang Maha Perkasa.
Apabila hidup kita ini dirasakan seperti beban, segala-galanya goyah, bangunkan semula kota semangat itu dengan keyakinan bahawa itulah iradat-Nya.
Apabila jalan di depan kita digelapi mendung, sedangkan tiada sesiapa di sisi sudi menemani kita, carilah jalan lurus itu dari Dia, yang menjadi satu-satunya panduan hidup.
Apabila semua di sekeliling kita tidak mahu mendengar suara dan keluhan kita, jangan kecewa kerana Dia Maha Mendengar.
Apabila kita miskin dan papa, kita terperangkap dalam kesempitan, ingatlah kepada Dia Yang Maha Mendengar.
Apabila kita dalam kedukaan sedangkan tiada tempat untuk melarikan diri, mengadulah kepada Dia Yang Satu.
Apabila kita keseorangan dan kedukaan itu seperti tiada penghujungnya, serahkan diri kita kepada Dia… satu-satunya tempat yang boleh digantungkan harapan.
Dan apabila parut luka kita dicederakan lagi, hati kita dicakari kebimbangan, ingatlah bahawa Dia sentiasa bersama orang-orang yang sabar.
No comments:
Post a Comment